Berita PPSMI Terkini

PPSMI Akan Dimansuhkan?!

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dimansuhkan sepenuhnya pada Tahun 2012, iaitu tiga tahun lagi dari sekarang. Pengumuman ini baru dibuat oleh menteri pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata bahawa di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu. Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2012. Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementerian untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris. Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mengenai PPSMI.

Ada pihak yang memberi pandangan bahawa PPSMI perlu dimansuhkan mulai tahun depan iaitu 2010. Namun begitu, ada baiknya kalau PPSMI dimansuhkan tiga tahun lagi akan datang supaya murid-murid dapat menyesuaikan diri dalam perubahan ini. Pada masa yang sama, pihak penerbit buku atau program perisian cd boleh mangambil masa ini untuk membangunkan perisian baru yang menggunakan BM.

Persoalan sekarang ialah: Apa pula akan terjadi pada peralatan-peralatan PPSMI di sekolah seperti laptop dan projector? Perlu dikembalikan kepada KPM? Selepas ini, mungkin CD dan program pengajaran perlu menggunakan perisian dalam bahasa Melayu? Ini bermakna berjuta-juta ringgit lagi diperlukan untuk pembangunan CD perisian dalam bahasa Melayu pula.

Apa pula cerita dengan UPSR? Pening kepala guru-guru Sains nak menukar istilah, cara-cara menjawab dan sebagai nya. Apa-apa pun mari lah kita berdoa agar sistem pendidikan kita akan bertambah baik dan maju untuk kebaikan generasi akan datang. Sekian.

Adakah PPSMI Relevan?

PPSMI Perlu Diteruskan Atau Tidak?!

Sejak kebelakangan ini, isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kembali diutarakan di semua media utama. Saya sebagai seorang guru PPSMI yang telah mengajar subjek Sains dan Matematik selama empat tahun ingin menyuarakan sedikit sebanyak tentang perkara ini.

Bagi cikgu, pengajaran dalam bahasa Inggeris tidak membebankan. Malahan tidak menjejaskan prestasi bahasa Melayu. Saya dan rakan sekerja seronok mempelajari istilah-istilah baru Sains dan Matematik. Walaupun pada mulanya agak susah bagi semua cikgu menguasai term-term yang serba baru dan susah diingati. Tetapi dengan adanya bantuan daripada guru bahasa Inggeris pada waktu ‘Buddy System Support’, cikgu mula menaruh minat terhadap pengajaran mereka dan ada murid yang mula menggunakan bahasa Inggeris semasa berkomunikasi dengan cikgu. Mulai masa itu, saya berasa sudah sebati dengan PPSMI.

Ada guru-guru yang mengajar dalam bahasa Inggeris dan kemudian menerangkan kembali dalam bahasa Melayu. Ini adalah untuk menjaga murid yang agak lemah dalam bahasa Inggeris. Walaupun terdapat murid yang tidak cemerlang dalam subjek Sains dan Matematik, tetapi mereka berasa sangat teruja dengan belajar bahasa Inggeris. Yang pentingnya ialah masa dan keinginan untuk mereka belajar.

Ini berlaku hanya di sekolah saya dan saya memberi pandangan terhadap murid saya sahaja. Yang difahami  ialah tahap murid-murid di setiap sekolah adalah berbeza-beza dan diikuti juga sekolah di bandar dan di luar bandar. Maka pandangan admin CikguBlog tetap pandangan sahaja dan tidak ada kena-mengena dengan guru-guru di sekolah lain.

Apa yang penting untuk belajar berjaya ialah kemahuan dan kegigihan. Apabila kegigihan dan kemahuan ada, halangan dapat diatasi. Justeru, adakah PPSMI relevan? Cikgu sendiri sahaja yang dapat menjawab soalan ini. Sekian terima kasih. (Pandangan ini hanyalah daripada admin cikgublog)

Guru PPSMI

Maklum Balas Para Guru Mengenai PPSMI

NUTP telah menjalankan kaji selidik mengenai pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) terhadap guru. Maklum balas yang diterima menyatakan bahawa para guru mendapati tahap penguasaan Bahasa Inggeris murid- murid kurang memuaskan. Untuk mengatasi masalah ini, mereka mencadangkan supaya waktu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris ditambah. Pelajar juga digalakkan supaya banyak membaca bahan bacaan Bahasa Inggeris, dan para guru pula memperbaiki serta mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka.

Mereka berpendapat bahawa sukatan PPSMI tidak dapat diselesaikan pada masa tertentu, dan mencadangkan supaya kerajaan memilih bahasa yang senang dikuasai murid, iaitu bahasa ibunda. Memandangkan pelajar lebih memahami subjek-subjek yang diajar dalam bahasa ibunda dan Bahasa Melayu, para guru yakin bahawa P&P Sains dan Matematik akan lebih berkesan sekiranya bahasa ibunda digunakan.

Melalui pemerhatian para guru, antara sebab mengapa pelajar tidak berminat dalam P&P PPSMI ialah kerana mereka tidak faham. Penggunaan bahasa yang mudah difahami murid iaitu bahasa ibunda dapat mengatasi masalah ini. Tambahan pula istilah sains seperti photosynthesis faleum dan herbivourous sukar dieja, dibaca,diingat dan difahami. Oleh sebab inilah cadangan para guru supaya standard Bahasa Inggeris di kalangan pelajar dikukuhkan terlebih dahulu diambil perhatian. Peruntukan masa PPSMI yang tidak mencukupi juga disuarakan oleh para guru dalam kaji selidik ini. Mereka turut mengingatkan bahawa bukan semua pelajar prasekolah mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Oleh kerana ini juga pelaksanaan PPSMI di sekolah rendah amat tidak sesuai.

PPSMI menjadi satu beban bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada guru. Ini adalah disebabkan terdapat guru yang lemah dalam penggunaan Bahasa Inggeris, bukan hanya pelajar. Guru-guru ini belum bersedia menggunakan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Kursus-kursus dalam perkhidmatan yang diadakan untuk para guru bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran subjek-subjek PPSMI juga tidak mencukupi dan tidak berkesan.

NUTP berharap Kementerian Pelajaran Malaysia akan mendengar suara para guru dalam hal ini dan menjadikan maklum balas yang diterima sebagai rujukan dalam meneliti semula pelaksanaan PPSMI bagi memastikan pelajar dapat manfaat yang optimum.

(Artikel dari Buletin NUTP bulan Oktober)
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia
Laman Web: http://www.nutp.org

Penilaian Pelaksanaan PPSMI 2008

Program Pemantauan & Penilaian Pelaksanaan PPSMI
2008–2010 (Fasa2)

Mesyuarat Khas PPSMI yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada tahun 2007 telah memutuskan penyelidikan dan penilaian PPSMI hendaklah dijalankan secara menyeluruh di semua sekolah rendah dan menengah. Sehubungan dengan itu, satu pasukan petugas yang dianggotai oleh bahagian-bahagian Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah ditubuhkan untuk menjalankan Program Pemantauan dan Penilaian Pelaksanaan PPSMI 2008 – 2010. Tujuan program adalah untuk menilai pelaksanaan, mencadangkan penambahbaikan dan memacu kemajuan bagi memantapkan dasar PPSMI.

Program ini melibatkan pengutipan data melalui soal selidik semua guru yang mengajar mata pelajaran Sains, Matematik dan Teknikal. Pengutipan data dilaksanakan sebanyak dua kali setahun, iaitu pada minggu ketiga April dan minggu ketiga Oktober, bermula dari tahun 2008 hingga tahun 2010.

Semua guru yang terlibat dalam pengajaran PPSMI dikehendaki membuat tindakan susulan berdasarkan item soal selidik sebelum penilaian seterusnya. Cikgu adalah dipohon untuk menjawab SEMUA item yang terkandung dalam soal selidik ini dengan jujur dan ikhlas. Segala maklumat yang cikgu berikan adalah SULIT dan hanya digunakan untuk tujuan penambahbaikan program PPSMI.

Cikgu boleh mendapatkan maklumat dan borang dengan link ini. Sekian.

UPSR 2008 Penentu PPSMI

KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini penentu sama ada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) disemak semula atau sebaliknya, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Katanya, ini kerana pencapaian murid kumpulan pertama menggunakan dasar itu dalam peperiksaan berkenaan akan menjadi penanda aras bagi mengukur keberkesanan pelaksanaan PPSMI di sekolah rendah sejak lebih lima tahun lalu.

Baca Artikel Penuh. (Dipetik dari website PPK oleh Norliza Abdullah)