Syarat Pengambilan KPLI  2010 Lebih Ketat

Bagi melahirkan profesion perguruan yang mempunyai tahap kepakaran tinggi serta berkualiti, syarat pengambilan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) mulai Tahun 2010 dan seterusnya akan diperketatkan lagi. Kementerian Pelajaran antara lain bakal mewajibkan calon KPLI memiliki kelayakan khusus mata pelajaran tertentu sebelum dibenar mengajar subjek berkenaan.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datin Asariah Mior Shaharuddin, pengenalan syarat wajib yang lebih ketat itu bagi memastikan guru itu benar-benar pakar dalam sesuatu subjek yang diajar. Dan pada masa yang sama mereka perlu juga betul-betul minat dalam bidang yang mereka ceburi.

“Sebagai contoh, jika calon guru itu ingin mengajar subjek Matematik, dia perlu ada pengkhususan subjek itu dalam ijazahnya. Ia bagi membolehkan mereka diterima mengikuti kursus KPLI”, katanya selepas merasmikan Minggu Pengurusan Pelajar Baru KPLI ambilan Januari 2010 di Institut Pendidikan Guru.

Tambah Asariah, sebelum ini kementerian menekankan kelayakan calon KPLI berdasarkan kelulusan ijazah pertama daripada pelbagai bidang. Syarat baru itu akan menekankan kelayakan serta pengkhususan khas kepada mata pelajaran yang akan diajar.

Selain itu, katanya, kementerian akan mengadakan pengambilan KPLI pada Januari dan Julai seperti tahun lalu. Pengambilan itu berdasarkan kepada keperluan, sekiranya terdapat kekurangan guru, kementerian akan membuat pengambilan baru.