Posts Tagged ‘Bahasa Inggeris’

Pembelajaran BM & BI Di SR 2011

Masa Pembelajaran Subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di Sekolah Rendah Ditambah Mulai 2011

Kabinet telah membuat keputusan untuk menambah masa pembelajaran subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di sekolah rendah berkuat kuasa pada sesi persekolahan 2011. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penambahan itu adalah selaras dengan dasar ‘Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris(MBMMBI) berikutan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau memberitahu, bagi sekolah kebangsaan (SK), penambahan masa hanya untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris iaitu dari 240 kepada 330 minit seminggu bagi tahap satu manakala tahap dua dari 210 kepada 300 minit seminggu. Dan bagi sekolah jenis kebangsaan (SJK), penambahan masa melibatkan kedua-dua mata pelajaran itu.

Di SJK, bagi Bahasa Inggeris penambahan masa untuk tahap satu adalah dari 60 kepada 120 minit seminggu manakala tahap dua dari 90 kepada 120 minit seminggu. Bagi Bahasa Malaysia pula, untuk tahap satu ditambah dari 270 kepada 330 minit seminggu manakala tahap dua dari 180 kepada 270 minit seminggu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberi jaminan bahawa penambahan masa itu tidak akan menyebabkan sesi persekolahan dipanjangkan. Katanya, pihak kementerian juga akan mengolah kurikulum supaya ia menjadi lebih kreatif bagi memastikan proses pembelajaran yang menyeronokkan.

(Diterbitkan oleh: Bahagian Hal Ehwal Korporat)

Bahasa Inggeris-Subjek Wajib Lulus

Pandangan Tentang BI Menjadi Subjek Wajib Lulus Dlm SPM

Pengajaran dan Pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) antara dasar kerajaan yang menimbulkan kontroversi di kalangan rakyat Malaysia terutama ahli pakar bahasa Melayu, Ibu bapa dan guru.

Baru-baru ini, kerajaan bercadang menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bermakna sekiranya pelajar lepasan SPM gagal subjek itu, mereka tidak akan memperoleh sijil dan hanya slip keputusan yang dipegang mereka sebagai bukti sudah menduduki peperiksaan itu.

Di sini, saya perhatikan ramai yang memandang mudah terhadap kepentingan bahasa Inggeris dalam memacu pembangunan negara mahupun dalam usaha melahirkan masyarakat minda kelas pertama. Ramai yang menjadikan Jepun sebagai negara contoh kerana negara itu mencapai status negara maju tanpa menggunakan bahasa Inggeris.

Ada segelintir pihak yang menyatakan mereka bimbang budaya Melayu semakin terhakis terutama selepas dasar PPSMI dan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus SPM. Situasi ini menunjukkan betapa lemahnya pemikiran segelintir rakyat Malaysia dalam mengharungi kehidupan dunia moden ini.

Jika kita menilai kedua-dua dasar yang saya fokuskan tadi dari sudut positif, pelajar sekolah terutama Melayu boleh menyahut seruan kerajaan dengan belajar bersungguh-sungguh dan mencapai keputusan memberangsangkan dalam peperiksaan. Inilah yang dinamakan motivasi apabila kita berjaya menukar beban kepada cabaran.

Kesimpulannya, hakikat penggunaan bahasa Inggeris dalam negara terutama sistem pendidikan Malaysia memang banyak pro berbanding kontra. Maka, janganlah kita jadikan bahasa Inggeris sebagai satu bebanan, sebaliknya pandanglah dari sudut positif yang akan membuka jalan kepada kemajuan negara, seterusnya pembangunan minda pelajar. Sekian.

Ahmad Fahmi Irsyad Aziz Azmi (Pasir Gudang, Johor)
Sebarang komen sila e-mel ke: komenhm@hmetro.com.my
Atau boleh melayari  http://www.hmetro.com.my

Carian Cikgu
Iklaneka
Join Cikgu facebook

MalaysiaCikguBlogging

Teachers Around The World
Free counters!