Archive for March, 2010
Pembelajaran BM & BI Di SR 2011
Masa Pembelajaran Subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di Sekolah Rendah Ditambah Mulai 2011
Kabinet telah membuat keputusan untuk menambah masa pembelajaran subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di sekolah rendah berkuat kuasa pada sesi persekolahan 2011. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penambahan itu adalah selaras dengan dasar ‘Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris‘ (MBMMBI) berikutan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Beliau memberitahu, bagi sekolah kebangsaan (SK), penambahan masa hanya untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris iaitu dari 240 kepada 330 minit seminggu bagi tahap satu manakala tahap dua dari 210 kepada 300 minit seminggu. Dan bagi sekolah jenis kebangsaan (SJK), penambahan masa melibatkan kedua-dua mata pelajaran itu.
Di SJK, bagi Bahasa Inggeris penambahan masa untuk tahap satu adalah dari 60 kepada 120 minit seminggu manakala tahap dua dari 90 kepada 120 minit seminggu. Bagi Bahasa Malaysia pula, untuk tahap satu ditambah dari 270 kepada 330 minit seminggu manakala tahap dua dari 180 kepada 270 minit seminggu.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberi jaminan bahawa penambahan masa itu tidak akan menyebabkan sesi persekolahan dipanjangkan. Katanya, pihak kementerian juga akan mengolah kurikulum supaya ia menjadi lebih kreatif bagi memastikan proses pembelajaran yang menyeronokkan.
(Diterbitkan oleh: Bahagian Hal Ehwal Korporat)
Program Terengganu Brilliant Kids
Program ICT Sekolah Brilliant Kids (TBKids)
Melalui program Terengganu Brilliant Kids yang diperkenalkan di 963 buah tadika seluruh negeri awal, guru-guru kini menggunakan papan sesentuh atau Interactive White Board yang mengandungi pelbagai elemen untuk mengajar kanak-kanak.
Kerajaan negeri membelanjakan RM1.2 juta bagi membiayai program itu di peringkat awal menggantikan Program Q-Dees yang hanya menyediakan dua mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris dan Matematik. Tiada lagi penggunaan papan putih, pen marker, mahu pun gambar-gambar lukisan yang dilukis sendiri oleh guru, untuk mengajar kanak-kanak tadika di negeri ini.
Program tersebut yang dimulakan awal tahun lalu mengandungi audio, visual, multi-media serta latihan-latihan yang menguji tahap kecerdasan dan penglibatan murid dalam sesi pembelajaran. Kaedah ini secara tidak langsung dapat mengatasi masalah kanak-kanak yang tidak fokus dan kurang minat terhadap kaedah pembelajaran formal dalam kelas yang lebih bersifat konservatif dan kurang menarik.
Di perinkat sekolah rendah, sebanyak 25k e-Book dibekalkan secara percuma kepada semua murid Tahun Lima sekolah rendah seluruh negeri, mulai tahun lalu. Pembahagian e-Book dilakukan secara telus di mana semua murid mendapat kemudahan itu, tanpa mengira bulu dan latar belakang keluarga, demi memastikan hasrat kerajaan negeri mewujudkan masyarakat ‘celik komputer’ tercapai.
Usaha menambah nilai peralatan ICT di sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang terpilih itu sudah pasti membolehkan lebih ramai pelajar tempatan menguasai bidang ICT, sebelum mereka menjejakkan kaki ke pusat pengajian tinggi. Akhirnya, pelajar-pelajar ini akan menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta menjadi kebangaan seisi keluarga dan mampu mengangkat martabat masyarakat tempatan.
Kursus LDP 2010
BPG: Kursus LDP 2010 Secara School Based
Pelaksanaan Kaedah Latihan Secara ‘PEMBACAAN BUKU‘ Sebagai Tambahan Bagi Melengkapkan Kursus LDP Secara SCHOOL BASED Di Sekolah.
Pengenalan
- Kursus LDP 7 hari di sekolah akan digantikan dengan pembacaan 7 buku ilmiah oleh setiap orang guru mulai tahun 2010.
- Setiap buku ilmiah yang telah dibaca oleh guru perlu dibentangkan untuk dikongsi bersama, iaitu pembentangan sebuah buku (Book Review) adalah bersamaan 1 hari kursus untuk guru tersebut.
- In House Training yang telah dilaksanakan hendaklah diteruskan.
- Kaedah ‘Book Review’ dilaksanakan sebagai tambahan kepada kaedah In House Training bagi mencukupi jumlah kursus selama tujuh hari.
Komponen Bacaan (Setiap buku mesti >50 halaman)
A) Pengetahuan Profesionalisme (60%)
- Ilmu pengetahuan pendidikan dan mata pelajaran
- Kandungan dan kaedah pedagogi
- Pengurusan kurikulum
- Kreativiti dan Inovasi pedagogi
B) Kemahiran Profesionalisme (20%)
- Kejurulatihan, Penulisan Ilmiah, Kepimpinan, Pengurusan Kewangan dan Strategik
C) Amalan dan Nilai Profesionalisme Keguruan (20%)
- Nilai dan Etika, Komunikasi Berkesan, Soft Skills
Pelaksanaan : Sebelum pembacaan, setiap buku yang dipilih mestilah mendapat pengesahan daripada pihak pentadbir sekolah. Jangka masa pembentangan untuk setiap pembentang adalah 20 hingga 30 minit.
Ulasan buku mestilah merangkumi 3 aspek iaitu:
i) Sinopsi buku
ii) Pengetahun/pengajaran yang boleh diperolehi
iii) Aplikasi ilmu dalam organisasi / P&P
1. Kehadiran guru-guru untuk mendengar pembentangan tersebut selama 6 jam dinilai sebagai 1 hari berkursus.
2. Kehadiran guru-guru untuk mendengar pembentangan dibenarkan sehingga 18 jam atau 3 hari sahaja.
3. Selepas membaca guru dikehendaki melengkapkan Borang Sinopsis (Lampiran C)
4. Pembentang menyerahkan Borang Sinopisis (Lampiran C) kepada SU LDP untuk pengesahan pentadbir.
5. Pendengar menilai pembentangan yang telah dibuat (Lampiran E).
6. Pentadbir memantau pembentangan (Lampiran F).
7. Pemberian markah Prestasi Tahunan guru dengan mengambil kira jumlah pembacaan buku dan kehadiran semasa pembentahan rakan sekerja.
Program Pemulihan 3M PROTIM
Program Pemulihan 3M (PROTIM) Tahun 2010
Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Jemaah Nazir Sekolah dengan kerjasama JPN dan PPD akan meneruskan Program Pemulihan 3M (PROTIM) Tahun4 dan Tahun5 bagi memastikan murid-murid Tahap 2 boleh menguasai kemahiran mengira dan mempunyai asas Matematik yang kukuh sebelum melangkah ke perinkat Sekolah Menengah.
Sehubungan dengan itu, pelaksanaannya perlu dijalankan dalam waktu Matematik atau mengikut budi bicara pentadbir sekolah. Tuan boleh membuat pengubahsuaian jadual waktu, namun perlu mamastikan pelaksanaanya tercapai. Pemantauan perlu dilaksanakan oleh pihak pentadbir bagi memastikan program ini berjalan lancar mengikut perancangan. Guru-guru Matematik juga dikehendaki memanfaatkan penggunaan Modul PROTIM yang sedia ada di sekolah masing-masing dengan sebaik mungkin.
Bersama-sama dengan ini disertakan Carta Alir Program PROTIM untuk makluman dan tindakan pihak sekolah. Guru matapelajaran dikehendaki mematuhi pelaksanaan Pra Ujian dan Pasca Ujian PROTIM Tahun 4 dan Tahun 5 agar data ujian tersebut dapat dihantar kepada pihak yang bertanggungjawab mengikut masa yang telah ditetapkan. Sekian terima kasih.

