Blog Cikgu Blogging In Malaysia
Cikgu Malaysia Online Blogging about Teachers, Students, Schools and Teaching Skills.
Cikgu Malaysia Online Blogging about Teachers, Students, Schools and Teaching Skills.
Jul 27th
Ada beberapa pihak telah meminta supaya UPSR diubahsuaikan atau dimansuhkan dan diganti dengan ujian lain yang lebih praktikum. Kerana mereka berpendapat bahawa UPSR ada sesuatu yang tidak kena kepada sistem peperiksaan itu. Masalah itu timbul dari mana? Itulah yang perlu kita cari dan selesaikan supaya pendidikan di negara kita kekal bertaraf tinggi.
Jika sebelum ini UPSR merupakan pengukur kepada pemilihan murid ke asrama penuh, apakah ia masih sesuai dan relevan untuk murid-murid di sekolah rendah? Sebab murid yang mengambil UPSR hanya akan mementingkan subjek yang utama (BM, BI, Maths, Science) sahaja yang akan dikira markah dan gred. Bagi subjek bukan teras, mereka hanya belajar sambil lewa. Perkara ini tidak dapat membantu menentukan tahap sebenar akademik murid.
Walaupun kerajaan belum bercadang memansuhkan UPSR, tetapi ia memerlukan pengubahsuaian dan penambahbaikan bagi mengelak ia dianggap tidak relevan. Bagi sesetengah guru, mereka berpendapat bahawa UPSR masih relevan dan tidak harus dimansuhkan dahulu memandangkan tiada lagi sistem yang lebih baik untuk menggantikannya.
Bagi Ibubapa dan masyarakat, mereka perlu faham bahawa UPSR diwujudkan bagi melihat pencapaian murid selepas enam tahun belajar di sekolah rendah. Melalui UPSR, guru dapat menilai mereka dari segai pelajaran, sahsiah dan kebolehan selain kesediaan melanjutkan pelajaran mereka ke sekolah menengah. Justeru itu, tidak ada sebab UPSR perlu dimansuhkan (buat masa ini) tetapi sebaliknya perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa mengikut kehendakan pendidikan sedunia.
Akhir kata, walaupun UPSR tidak sepenting PMR, SPM atau STPM, tetapi ia masih perlu dilaksanakan demi memastikan murid dapat bersaing dan belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat mereka. Dengan adanya peperiksaan UPSR, guru dan murid di sekolah rendah akan lebih bersemangat dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Sekian terima kasih.
Jul 20th
1. Persediaan mengajar merupakan satu pelan bertindak bagi sesuatu pelajaran/kuliah. Berdasarkan persediaan mengajar, pengajar akan boleh melaksanakan rancangan mengajarnya dengan sistemtik, lancar dan berkesan, serta mengelakkan kekecohan dalam kelas.
2. Persediaan mengajar membantu pengajar mengingati isi pelajaran yang hendak disampaikan tanpa sebarang keraguan.
3. Di samping itu, pengajar boleh menyediakan alat bantu mengajar serta menggunakannya dalam masa yang sesuai sebagaimana yang dirancangkan dalam persediaan mengajar.
4. Ia juga dapat membantu pengajar menentukan objektif pelajaran, memilih isi pelajaran dan strategi pengajara nyang sesuai demi meningkatkan keberkesanan pelajarannya.
5. Dengan adanya rancangan yang disediakan secara rapi, persediaan mengajar boleh membantu pengajar mengawal disiplin bilik darjah dengan baik.
6. Berdasarkan isi pelajaran yang dirancangkan, pengajar boleh merancang aktiviti-aktiviti susulan yang selanjutnya.
Semoga cikgu dapat merancang dan menguruskan persediaan pengajaran dengan lebih baik. Sekian.
Jul 13th
1) Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik) sebanyak 10% daripada gaji pokok untuk Guru Bukan Siswazah dan 5% untuk Guru Siswazah yang mengajar ketiga-tiga subjek tersebut diperkenalkan mulai tahun 2003.
2) Para guru yang terlibat juga dikehendaki menjalani kursus ETEMS untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam pengajaran mereka dalam Bahasa Inggeris.
3) Sekolah telah dibekalkan dengan komputer riba dan LCD serta Bahan Bantu Mengajar dalam Bahasa Inggeris untuk subjek-subjek yang berkenaan.
4) Projek Rangkaian Schoolnet yang menyambungkan semua sekolah di Malaysia dalam satu jaringan rangkaian berkelajauan 1Mbps (muat turun) dan 128kbps (muat naik) telah diperkenalkan. Projek ini bertujuan membudayakan penggunaan Internet dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Ia membolehkan setiap sekolah mempunayai capaian ke internet. Projek ini dibiayai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi tempoh lima tahun dengan jumlah anggaran kos sebanyak Rm374.20 juta. Sehingga tahun 2009, sebanyak sepuluh ribu sekolah telah dirangkaikan.
Jul 8th
Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dimansuhkan sepenuhnya pada Tahun 2012, iaitu tiga tahun lagi dari sekarang. Pengumuman ini baru dibuat oleh menteri pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata bahawa di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu. Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.
Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2012. Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.
Kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementerian untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris. Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mengenai PPSMI.
Ada pihak yang memberi pandangan bahawa PPSMI perlu dimansuhkan mulai tahun depan iaitu 2010. Namun begitu, ada baiknya kalau PPSMI dimansuhkan tiga tahun lagi akan datang supaya murid-murid dapat menyesuaikan diri dalam perubahan ini. Pada masa yang sama, pihak penerbit buku atau program perisian cd boleh mangambil masa ini untuk membangunkan perisian baru yang menggunakan BM.
Persoalan sekarang ialah: Apa pula akan terjadi pada peralatan-peralatan PPSMI di sekolah seperti laptop dan projector? Perlu dikembalikan kepada KPM? Selepas ini, mungkin CD dan program pengajaran perlu menggunakan perisian dalam bahasa Melayu? Ini bermakna berjuta-juta ringgit lagi diperlukan untuk pembangunan CD perisian dalam bahasa Melayu pula.
Apa pula cerita dengan UPSR? Pening kepala guru-guru Sains nak menukar istilah, cara-cara menjawab dan sebagai nya. Apa-apa pun mari lah kita berdoa agar sistem pendidikan kita akan bertambah baik dan maju untuk kebaikan generasi akan datang. Sekian.
Jul 5th
Secara tidak langsung, bidang perguruan kehilangan guru-guru yang pakar dan berdedikasi dalam bidang masing-masing apabila mereka dinaikkan pangkat.
Menyedari hakikat tersebut, kenaikan pangkat Guru Cemerlang diperkenalkan mulai 1993 sebagai peluang kenaikan pangkat yang lebih baik bagi guru gemilang yang tidak meninggalkan bilik darjah.
Objektif kenaikan pangkat Guru Cemerlang
Jul 1st
Pengajaran dan Pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) antara dasar kerajaan yang menimbulkan kontroversi di kalangan rakyat Malaysia terutama ahli pakar bahasa Melayu, Ibu bapa dan guru.
Baru-baru ini, kerajaan bercadang menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bermakna sekiranya pelajar lepasan SPM gagal subjek itu, mereka tidak akan memperoleh sijil dan hanya slip keputusan yang dipegang mereka sebagai bukti sudah menduduki peperiksaan itu.
Di sini, saya perhatikan ramai yang memandang mudah terhadap kepentingan bahasa Inggeris dalam memacu pembangunan negara mahupun dalam usaha melahirkan masyarakat minda kelas pertama. Ramai yang menjadikan Jepun sebagai negara contoh kerana negara itu mencapai status negara maju tanpa menggunakan bahasa Inggeris.
Ada segelintir pihak yang menyatakan mereka bimbang budaya Melayu semakin terhakis terutama selepas dasar PPSMI dan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus SPM. Situasi ini menunjukkan betapa lemahnya pemikiran segelintir rakyat Malaysia dalam mengharungi kehidupan dunia moden ini.
Jika kita menilai kedua-dua dasar yang saya fokuskan tadi dari sudut positif, pelajar sekolah terutama Melayu boleh menyahut seruan kerajaan dengan belajar bersungguh-sungguh dan mencapai keputusan memberangsangkan dalam peperiksaan. Inilah yang dinamakan motivasi apabila kita berjaya menukar beban kepada cabaran.
Kesimpulannya, hakikat penggunaan bahasa Inggeris dalam negara terutama sistem pendidikan Malaysia memang banyak pro berbanding kontra. Maka, janganlah kita jadikan bahasa Inggeris sebagai satu bebanan, sebaliknya pandanglah dari sudut positif yang akan membuka jalan kepada kemajuan negara, seterusnya pembangunan minda pelajar. Sekian.
Ahmad Fahmi Irsyad Aziz Azmi (Pasir Gudang, Johor)
Sebarang komen sila e-mel ke: komenhm@hmetro.com.my
Atau boleh melayari http://www.hmetro.com.my
Komen Cikgu