Kesusasteraan Melayu

NUTP Syor Kaji Semula Kesusasteraan Melayu

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula subjek Kesusasteraan Melayu di sekolah menengah untuk menerapkan nilai murni kepada pelajar dalam menangani gejala sosial.

Presiden NUTP, Anuar Ibrahim, berkata subjek ini berupaya menjana modal insan seperti dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berdaya saing serta berfikiran matang. Ia satu resolusi seminar Kesusasteraan Melayu dalam Pendidikan. NUTP akan membentangkan resolusi seminar itu kepada Kementerian Pelajaran secepat mungkin.

Dalam pada itu, Dr Lim Swee Tin selaku Penyelaras Memorandum Seminar Kesusasteraan Melayu dalam Pendidikan berharap kerajaan memastikan pemilihan karya yang akan dijadikan teks pembelajaran Kesusasteraan Melayu kelak menggunakan karya ciptaan Sasterawan Negara dan penerima S.E.A Write Award.

“Dalam resolusi ini, kami turut mencadangkan Kesusasteraan Melayu dijadikan mata pelajaran elektif (pilihan) kepada semua pelajar sekolah menengah mulai Tingkatan Satu lagi. Pada awalnya, kami mahu subjek ini diajar kepada murid sekolah rendah tetapi mungkin timbul kerumitan kepada kerajaan melaksanakannya.

“Kokurikulum Kesusasteraan Melayu perlu memasukkan unsur sastera daripada pelbagai etnik seperti suku kaum Sabah dan Sarawak serta etnik lain kerana jalan ceritanya lebih menarik dan tidak ramai yang mengetahuinya.”

Dipetik dari laman web MyschoolNet.
Para pembaca yang dihormati, anda diberi peluang untuk memberi sedikit pandangan dan
komen tentang isu Kesusasteraan Melayu yang dipaparkan.
Sekian terima kasih.

Transformasi Pendidikan Baru

Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi sistem pendidikan bermula 2010 bagi meningkatkan kualiti akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid.

Ketua Pengarah Pelajaran mengatakan bahawa transformasi tersebut akan melibatkan beberapa perubahan dari segi kurikulum dan sistem peperiksaan sekolah.

Perubahan dari segi kandungan kurikulum akan dilaksanakan supaya ia menjadi lebih menarik dan seronok serta tidak membebankan pelajar.

Konsep ini juga membantu ‘pelajar berlari ke sekolah dan berjalan pulang ke rumah’ sebagai menunjukkan betapa mereka seronok dan teruja untuk menimba ilmu di sekolah.

Transformasi tersebut juga akan melibatkan perubahan kepada sistem penilaian supaya tidak hanya berasaskan peperiksaan. Menurutnya beliau, melalui sistem penilaian baru itu, prestasi para pelajar akan dinilai sejak mereka berada di tahun satu lagi.

”Ini bermakna ketika pelajar-pelajar itu menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), peperiksaan mereka melibatkan silibus yang kecil sahaja kerana mereka telah dinilai sejak awal lagi.”

Sistem yang bakal dilaksanakan itu akan menggunakan sistem pengumpulan mata seperti dilaksanakan di universiti. Tahun ini sebanyak 50 sekolah telah dipilih sebagai perintis bagi melaksanakan transformasi tersebut dan ia akan diteruskan kepada 500 buah lagi pada tahun hadapan serta ke seluruh negara menjelang 2010.

Dengan harapan yang tinggi, melalui mekanisme transformasi itu, lebih ramai pelajar yang bermutu, berilmu pengetahuan dan berdisiplin dapat dilahirkan menjelang tahun 2020. Produktiviti pelajar-pelajar ini memang amat diperlukan oleh negara menjelang 2020 untuk kemajuan negara yang lebih mantap.

UPSR 2008 Penentu PPSMI

KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini penentu sama ada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) disemak semula atau sebaliknya, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Katanya, ini kerana pencapaian murid kumpulan pertama menggunakan dasar itu dalam peperiksaan berkenaan akan menjadi penanda aras bagi mengukur keberkesanan pelaksanaan PPSMI di sekolah rendah sejak lebih lima tahun lalu.

Baca Artikel Penuh. (Dipetik dari website PPK oleh Norliza Abdullah)